TENOM, 6 Julai - Kepentingan mengekalkan parti lokal sebagai teras kepada Kerajaan Negeri Sabah terus ditekankan selaras usaha memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri secara antara kerajaan, bukan sekadar melalui parti politik yang sama.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pendekatan ini terbukti berkesan menerusi penggubalan Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025 atau Akta CCUS 2025, yang hanya terpakai di Semenanjung Malaysia dan Labuan, selepas pandangan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak diambil kira.
"Langkah tersebut mencerminkan keberkesanan hubungan antara kerajaan dalam memastikan suara serta kepentingan negeri diberi pertimbangan sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.
Datuk Armizan berucap merasmikan Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Melalap, di Dewan Seri Panglima Antanom, di sini.
Beliau turut membandingkan penggubalan Akta CCUS 2025 dengan Akta Laut Wilayah 2012 (TSA), yang mengehadkan kuasa negeri kepada tiga batu nautika dari pantai, tanpa bantahan ketika itu daripada kepimpinan Sabah – termasuk segelintir yang kini lantang mengkritiknya.
"Perbezaan utama antara dua akta tersebut ialah pada 2012, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan diterajui oleh parti nasional yang sama.
"Sebaliknya pada 2025, Sabah dipimpin oleh parti lokal GRS, manakala Kerajaan Persekutuan oleh parti nasional – namun masih mampu menjalin kerjasama erat demi kepentingan rakyat, tegas beliau.