PUTRAJAYA, 6 Julai- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan pembukaan 38 Community Fire Learning Centre (CFLC) di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Ts. Nor Hisham Mohamad berkata, ia sebagai langkah memperluas peranan balai bomba daripada hanya pusat operasi kecemasan kepada pusat pembelajaran komuniti yang mesra rakyat.
"CFLC menyediakan fasiliti yang boleh dikongsi masyarakat bagi pelbagai program yang mematuhi perundangan, seperti sambutan hari lahir atau mesyuarat komuniti.
"Pada masa sama, setiap kali program dianjurkan, JBPM akan memanfaatkan kira-kira setengah jam pertama untuk memberi pendidikan asas berkaitan keselamatan kebakaran kepada peserta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian CFLC di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 14 Presint 14 Putrajaya, di sini.
Setakat ini, tujuh CFLC telah pun siap dibangunkan, manakala lapan lagi disasarkan siap pada tahun ini termasuk BBP Presint 14.
CFLC diwujudkan bagi menyediakan ruang komuniti untuk pelbagai program serta menyampaikan pendidikan keselamatan kebakaran.
Inisiatif itu turut dilaksanakan melalui kerjasama awam swasta bawah model perkongsian awam, swasta dan rakyat (4P), sekali gus menjadi sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
CFLC menyokong program kesedaran sedia ada seperti Kelab Bomba Cilik (KBoC) dan Bomba Junior yang menyasarkan golongan pelajar.
Sehingga kini, lebih 2,700 KBoC telah ditubuhkan dengan keahlian hampir 69,000 murid, manakala 79 pasukan Bomba Junior pula mencatat lebih 2,500 keahlian.
Majlis perasmian itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings Sdn. Bhd., Datuk Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim serta pegawai kanan JBPM.
Dengan kewujudan CFLC, JBPM yakin dapat memperkukuh budaya keselamatan kebangsaan bermula di peringkat komuniti.