TAWAU, 6 Julai- Program Road to Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di sini menyasarkan jualan sebanyak RM100,000 dengan kehadiran 20,000 penganjung.
Program selama dua hari yang bermula 5 hingga 6 Julai itu membabitkan jualan Agro MADANI, pameran teknologi serta jualan hasil pertanian dan perikanan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata HPPNK 2025 merupakan pengiktirafan kepada peladang, penternak dan nelayan yang berusaha membekalkan bekalan makanan kepada rakyat dan negara.
Ia sekali gus menyuntik semangat kepada golongan itu untuk terus memastikan landskap agromakanan negara berada pada tahap terbaik.
"Pada tahun ini dia cukup istimewa kerana Sabah diberi peluang untuk menjadi tuan rumah.Setelah 30 tahun HPPNK kembali semula ke Sabah.
"Kali terakhir Sabah menjadi tuan rumah ialah pada tahun 1995. Sabah ini negeri yang besar, sangat luas dan mempunyai potensi khususnya dalam sektor pertanian, perikanan dan juga peladangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Road to Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pekarangan Majlis Perbandaran Tawau di sini.
Sebelum itu beliau turut menyempurnakan Majlis pelepasan Konvoi bermotosikal bermula dari Tawau.
Konvoi menjelajah 18 daerah antaranya Sook, Sandakan, Pensiangan, Keningau, Papar dan destinasi terakhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu pada 1 Ogos.
Konvoi itu melibatkan 30 peserta iaitu warga kerja Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Sabah, Kumpulan Belia Nelayan serta ahli persatuan nelayan di Sabah.