CYBERJAYA, 12 Mac- Syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disaran melaksanakan inisiatif "sekolah angkat" bagi membantu membangunkan sekolah-sekolah di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan daripada syarikat tersebut mampu menyelesaikan pelbagai masalah infrastruktur di institusi berkenaan.
"Sekolah pada tahun 2023 ada 8,600 tandas teruk di sekolah-sekolah di Malaysia. Bayangkan, anak-anak kita, sekolah kita yang dengan kemudahan sebegitu, ia sama sekali tidak dapat diterima.
"Jadi apa yang boleh kita lakukan ialah menyelesaikan sebahagian daripada masalah ini," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama syarikat korporat dan GLC di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan, telah meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri untuk menyelaras perkara berkenaan bersama Kementerian Pendidikan (KPM).
Dalam pada itu, Anwar berkata usaha meningkatkan penyertaan pelajar dalam jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), perlu dilaksanakan segera pada tahun ini.
Ia sejajar dengan kepentingan bidang berkenaan dalam pembangunan negara.
Justeru ke arah memenuhi keperluan itu, Anwar mencadangkan agar sekolah-sekolah berasrama penuh di bawah KPM menggalakkan 70 peratus daripada pelajarnya untuk memilih bidang tersebut.
"Aspek STEM yang menjadi masalah kita sekarang, saya telah minta supaya sekolah-sekolah KPM, MARA mendorong anak-anak kita di sekolah menengah sains, sekolah menengah asrama penuh, sekolah menengah MARA ini, MRSM untuk segera mendorong lebih ramai pelajar-pelajar ke STEM," katanya.
Sementara itu, Anwar memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak sesekali mencetuskan perpecahan di negara ini.
Ujarnya, tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang menimbulkan kebencian, tidak kira daripada segi perkauman, agama mahupun menghina orang miskin.
"Mudah-mudahan kita buat pertimbangan baik dan tahu antara baik dan buruk, makruf dan munkar, hak dan batil.
"Terutama sekarang di Malaysia ini, kita mesti tumpu dalam soal ini dan jangan izinkan negara ini dicemari oleh pelampau perkauman dan agama seperti kita dengar," katanya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri mengajak seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama menjadi ejen perpaduan dan membantu usaha Kerajaan MADANI menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa.
Dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan di Facebook berkata, tindakan itu juga dapat menjamin perpaduan antara kaum di negara ini kekal mekar dan harmoni.