fb fb fb fb fb

KPDN Johor jamin bekalan minyak masak mencukupi

Foto hiasan

JOHOR BAHRU, 12 Mac- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor memberi jaminan, bekalan minyak masak di negeri itu, mencukupi sepanjang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. 

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata, demi memastikan kelancaran pengagihan bekalan, pertemuan bersama tiga syarikat penapisan minyak utama, dan beberapa pasar raya besar telah diadakan.

Setakat ini, isu bekalan minyak masak di negeri itu masih terkawal, dengan keberadaan bahan komoditi itu dijangka terus mencukupi. 

"Menteri kabinet kita telah pun berbincang dan membentang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dari segi pemberian insentif khas untuk kepada semua pengeluar bagi menampung kos khususnya dalam tempoh masa tiga bulan pertama ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa mengadakan Program Bazar Ramadan Rahmah dan Program MySaveFood 2025 di Bazar Ramadan Taman Dahlia di sini.

Pemantauan berterusan terhadap bekalan serta harga pasaran akan dibuat demi mengekang sebarang isu berbangkit.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa tiada laporan berkaitan harga makanan melampau dikesan di bazar sekitar Johor. 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI