(Foto fail)
GOMBAK, 19 April- Kementerian Kerja Raya melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia telah menyelaras kesemua syarikat konsesi lebuh raya untuk membuat persiapan bagi menghadapi lonjakan aliran trafik.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata lebih ramai pengguna dijangka melalui lebuh raya susulan pemberian tol percuma selama empat hari.
Pemberian tol percuma di 33 lebuh raya ini merupakan kali pertama diberikan oleh kerajaan memandangkan perayaan sebelum ini inisiatif seumpama itu hanya diberikan selama dua hari dengan bilangan lebuh raya yang terhad.
"Tidak pernah empat hari tol percuma. Dulu-dulu hanya dua hari bagi setiap perayaan yang ada tol percuma, ini adalah yang pertama kali diumumkan.
"Kementerian bertanggungjawab dan telah mencadangkan serta diterima oleh Kabinet dan diumumkan YAB Perdana Menteri.
"KKR memastikan semua ini akan berjalan dengan lancar dan saya telah diberi taklimat oleh PLUS dan ANIH semua kerja dilaksana untuk memastikan perjalanan pengguna bukan sahaja selamat tetapi keselesaan mereka," kata Alexander kepada pemberita selepas membuat tinjauan persiapan lebuh raya dan tol berempena perayaan Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Gombak di sini.
(Datuk Seri Alexander berkata Syarikat konsesi siap siaga hadapi lonjakan trafik)