KAJANG, 19 April- 76 lokasi utama kemalangan akan menjadi tumpuan utama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Bersepadu Aidilfitri mulai 18 hingga 27 April.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, kesemua lokasi berkenaan melibatkan jalan Persekutuan yang berisiko tinggi berlakunya kemalangan.
"Operasi ini juga dilaksanakan menggunakan strategi penyamaran termasuk penggunaan dron di lokasi tertentu bagi memantau dan merakam etika pemanduan yang tidak selamat serta pelanggaran peraturan jalan raya," katanya kepada media di sini.
Beliau turut memaklumkan bahawa JPJ menguatkuasakan tujuh kesalahan yang tidak dibenarkan untuk dikompaun bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Ia membabitkan memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
(Datuk Hasbi berkata JPJ fokus 76 lokasi berisiko tinggi kemalangan)