KUALA LUMPUR, 19 April- 90% daripada 8,820 tiket tambahan perkhidmatan tren elektrik (ETS) laluan pergi dan balik KL Sentral - Padang Besar dan KL Sentral - Butterworth telah terjual sejak jualan mula dibuka pada 24 Mac.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, penambahan empat tren itu susulan permintaan yang tinggi daripada orang ramai selepas tiket biasa bagi ETS dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Intercity dari 19 hingga 25 April habis dijual bagi sektor utara.
Beliau berpuas hati dengan inisiatif yang diambil KTMB untuk membuka jualan tiket tren lebih awal dan berusaha memenuhi keperluan pengguna pengangkutan awam.
Katanya, kerajaan menyokong penuh inisiatif KTMB menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan alternatif sepanjang musim perayaan bagi menjamin keselesaan dan mengelak kesesakan jalan raya.
"Saya amat berpuas hati dengan langkah-langkah yang telah diambil pihak KTMB untuk memastikan tiket dijual lebih awal dan ada tambahan ETS dan juga tambahan tren ke pantai timur.
"Semua ini adalah usaha kerajaan untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dapat pulang ke kampung masing-masing menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Walaupun kita ada kapasiti yang terhad namun sekurang-kurangnya telah menyediakan perkhidmatan kepada 11,000 orang untuk menggunakan tren balik ke kampung," kata Anthony kepada media selepas sesi edaran 1,000 pek Hari Raya kepada para penumpang tren di Stesen Kl Sentral di sini.
Beliau turut memaklumkan bahawa KTMB telah menyediakan 32 perkhidmatan ETS dengan tawaran 69,930 tiket manakala 53 perkidmatan KTM Intercity dengan tawaran 102,508 tiket.
Tambahan dua tren ETS bagi perjalanan dari KL Sentral -Padang Besar, dua ETS lagi bagi laluan KL Sentral-Butterworth serta tambahan 1,685 tiket bagi Tren Khas Lambaian Aidilfitri untuk perjalanan dua hala bagi menampung permintaan yang tinggi berikutan sambutan yang amat menggalakkan.
(Anthony berkata 90% tiket tambahan ke utara habis dijual)