KUALA LUMPUR, 29 Januari - Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina yang akan diraikan tidak lama lagi.
Warga kota dijangka menggunakan kesempatan cuti hujung minggu dan cuti musim perayaan untuk pulang ke kampung.
Untuk itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengarahkan kesemua syarikat konsesi lebuh raya membuat persediaan rapi bagi memastikan perjalanan pengguna selamat dan lancar.
Ini berikutan jangkaan berlakunya peningkatan jumlah aliran trafik yang menggunakan lebuh raya sehingga 4.6 juta kenderaan sehari.
LLM dalam kenyataannya memaklumkan, semua kerja pembaikan dan penyelenggaraan melibatkan penutupan lorong di laluan utama lebuh raya akan dihentikan kecuali bagi kerja-kerja yang melibatkan kes kecemasan sahaja.
Semua lorong di plaza tol akan beroperasi selain lorong berlapis tambahan disediakan di plaza tol yang dikenal pasti bakal berlaku kesesakan.
Petugas tambahan juga ditempatkan bagi membantu melancarkan transaksi tol manakala pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi selama 24 jam.
Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat keadaan trafik atau bantuan dengan menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian tertera.