fb fb fb fb fb

Pelabur Hong Kong cadang bina taman tema ala ketenteraan di Melaka

 (Foto hiasan)

BANDARAYA MELAKA, 23 Disember- Sebuah syarikat pelaburan dari Hong Kong bercadang membina taman tema ala ketenteraan melibatkan nilai pelaburan kira-kira RM200 juta di Klebang, Melaka tahun hadapan.

Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata cadangan itu telah dikemukakan wakil syarikat berkenaan kepada pihaknya.

Ab Rauf berkata perkara itu akan dibawa kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan agensi terlibat untuk penilaian selanjutnya.

Ujarnya, projek berkenaan dijangka bakal memberi nilai tambah pada produk pelancongan di Melaka, sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu pada masa hadapan.

"Ini baru cadangan, bukan satu projek yang sudah disahkan. Namun saya kira taman tema itu satu nilai tambah kepada industri pelancongan Melaka, sekiranya ia berjaya dibangunkan.

"Ia satu konsep yang menarik dan saya amat tertarik," katanya dalam sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) di sini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri memberi fokus untuk menarik pelancong berkelas premium khususnya dari negara seperti Dubai dan China menerusi lebih banyak pembukaan hotel mewah bertaraf lima bintang di Melaka pada tahun hadapan.

(Ab Rauf Yusoh)

 

Media Baharu