fb fb fb fb fb

SWM Environment siap sedia hadapi Monsun Timur Laut

Foto SWM Environment

JOHOR BAHRU, 16 Oktober- SWM Environment merangka Pelan Operasi Musim Banjir sebagai langkah bersiap sedia, menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di Johor yang dijangka bermula pada November hingga Mac depan.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, antara pendekatan dirancang termasuk kerja pembersihan longkang di 15 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan saliran longkang tidak tersumbat.

Dalam pada itu SWM Environment juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Johor dan pihak terlibat, bagi melaksanakan gerak kerja operasi banjir terutama di kawasan berisiko tinggi.

Kerjasama itu termasuk operasi kutipan sisa pepejal dan penempatan tong sampah mengikut keperluan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Selain itu, kenderaan berjentera SWM Environment akan digerakkan dalam Operasi Pembersihan Pasca Banjir mengikut permohonan pihak berkuasa.

Syarikat tersebut juga menyumbang 42 kotak makanan kepada 101 penduduk terjejas dari Kampung Tengah Renggam, Kampung Paya Baru dan Taman Layang-Layang, Kluang di dua PPS SK Seri Kampung Renggam dan SJK (C) Layang-Layang. 

10 unit mesin pembersihan berkuasa tinggi juga diserahkan bagi menjayakan inisiatif gotong-royong pembersihan pasca banjir di kawasan terjejas. 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI