fb fb fb fb fb

SWCorp rancang tambah 300 Pusat Pandu Lalu Kitar Semula di seluruh negara

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed/RTM

MELAKA TENGAH, 12 Oktober – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) merancang menambah sebanyak 300 lagi Pusat Pandu Lalu Kitar Semula (DTRC) di seluruh negara bagi menggalakkan masyarakat melaksanakan amalan kitar semula dengan lebih mudah.

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, perancangan itu diharap dapat direalisasikan bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 kelak, kami merancang untuk menambah sekitar 300 lagi Pusat Pandu Lalu Kitar Semula di seluruh negara.
Diharapkan perancangan ini dapat dipertimbangkan oleh kerajaan agar pelaksanaannya dapat direalisasikan.

"Tumpuan penambahan pusat ini termasuk di pusat beli-belah, pasar utama dan kawasan tumpuan masyarakat bagi memudahkan orang ramai melaksanakan aktiviti kitar semula tanpa perlu berdepan sebarang kesukaran.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Kemampanan Komuniti Bandar: Karnival Komuniti MADANI dan pelancaran DTRC kedua di Melaka yang diadakan di Pangsapuri Rakyat Sungai Putat.

Setakat ini lebih 140 DTRC telah diwujudkan di seluruh negara.

Selain itu, katanya, pelbagai usaha turut dijalankan bagi mempertingkat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, termasuk melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI