fb fb fb fb fb

SWCorp Melaka pasang CCTV banteras pembuangan sampah haram

Foto BERNAMA

PENGKALAN RAMA, 20 Julai - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka komited membanteras aktiviti pembuangan sampah haram menerusi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi berisiko sekitar negeri ini.

Pengarahnya, Nor Zaki Md Nor berkata, sebanyak 12 lokasi telah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berlakunya pembuangan sampah secara haram.

"Setakat ini, sebanyak empat unit CCTV telah dipasang bagi memudahkan pemantauan dan pengawasan aktiviti pembuangan sampah haram," katanya.

Empat lokasi tersebut ialah Telok Mas, Batu Berendam, Alor Gajah dan Jasin.

Menurut beliau, CCTV tersebut dipasang secara mudah alih bagi membolehkan ia digerakkan ke lokasi lain yang turut dikenal pasti menghadapi isu sama.

"Melalui pemasangan CCTV ini, kita dapat lihat pengurangan aktiviti pembuangan sampah haram sebanyak 60 hingga 70 peratus.

"Ia terbukti lebih efektif serta dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pemantauan secara fizikal," katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada Program Gotong-Royong Cuci-Cuci Duyong bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Duyong, yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Dalam pada itu, Nor Zaki turut memaklumkan Kempen Bandar Bersih sedang giat dilaksanakan, melibatkan kerja-kerja pembersihan di bandar-bandar utama yang terlibat dalam Program WRUR.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI