fb fb fb fb fb

JAWI Run 2025 serlah gaya hidup sihat dan nilai Islam

Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan / Foto RTM

PUTRAJAYA, 20 Julai - Hampir 10,000 peserta pelbagai kaum dan agam menyertai JAWI Run 2025 anjuran Jabatan Agama Islam (JAWI) yang berlangsung seawal pukul 3.00 pagi tadi, di sini, hari ini.

Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan berkata, penganjuran kali ini turut mengetengahkan pendekatan dakwah secara praktikal dengan memberi tunjuk ajar kepada orang ramai mengenai cara menunaikan solat serta berwuduk dengan betul.

"Kali ini kita cuba mendidik masyarakat melalui pendekatan berbeza. Kita tidak menyediakan paip untuk berwuduk seperti biasa, sebaliknya hanya menyediakan botol air minuman kecil supaya peserta belajar cara berwuduk dengan menggunakan air yang sangat sedikit. Apa yang penting, wuduk mereka tetap sah.

Walaupun seseorang itu memiliki akal yang sihat, jika tubuh badannya tidak sihat, individu tersebut tetap tidak mampu pergi jauh."

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelepasan acara larian itu yang membawa tema 'Akal Yang Sihat, Daripada Tubuh Badan Yang Sihat '.

Turut diadakan pameran kesihatan, ilmu pengurusan zakat bergerak, kuiz interaktif dan aktiviti kesedaran komuniti.

JAWI Run 2025 bukan sekadar acara larian, sebaliknya mencerminkan nilai Malaysia MADANI yang menekankan nilai keharmonian, gaya hidup sihat serta penerapan nilai-nilai Islam secara terbuka dan menyatukan masyarakat.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE