KUALA LANGAT, 20 Julai - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini mencemar duli menyertai Larian KITA 2025 yang berlangsung meriah di Pantai Kelanang, Kuala Langat.
Baginda turut diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin
Keberangkatan pasangan Diraja itu disambut oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Larian anjuran Yayasan TZA itu berjaya menghimpunkan lebih 2,500 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat dengan jarak larian tiga dan lima kilometer yang bertemakan gaya retro.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan melawat reruai pameran komuniti yang menampilkan pelbagai aktiviti masyarakat setempat.
Acara diteruskan dengan pertandingan Sukan Rakyat sempena Pesta Kelaut 2025 anjuran Majlis Perbandaran Kuala Langat, yang turut disempurnakan oleh baginda berdua.
Larian KITA dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh semangat perpaduan, memperkasa komuniti, dan menyemai gaya hidup sihat.
Program tersebut akan diteruskan di beberapa lokasi terpilih di seluruh Selangor dengan penyertaan terbuka kepada orang ramai.