fb fb fb fb fb

Generasi muda digalak sertai wacana ilmu

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Kamil Munim/ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 20 Julai - Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terus komited dalam usaha menyemarakkan budaya wacana dan majlis ilmu dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, iltizam tersebut sejajar dengan visi nasional yang menekankan kepentingan budaya ilmu sebagai asas pembinaan jati diri dan kekuatan negara bangsa.

"Antara punca kekeliruan dalam kalangan masyarakat hari ini ialah pengabaian terhadap budaya ilmu.

"Maka, menjadi tanggungjawab bersama termasuk kerajaan untuk menghidupkan semula tradisi keilmuan yang kian terpinggir ini," katanya.

Tambah Kamil, pengukuhan budaya wacana secara berterusan bukan sahaja membuka ruang pencerahan terhadap isu-isu semasa, malah berupaya melahirkan masyarakat yang lebih kritis dan berdaya fikir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Forum Wacana: "Maslahah Negara: Kaca Mata Anak Muda" anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini, hari ini.

Forum tersebut memberi tumpuan kepada pandangan dan perbincangan mengenai hala tuju negara,oleh barisan panel muda yang berpengalaman dalam pelbagai bidang, khususnya dalam konteks dakwah dan gagasan Malaysia Madani.

"Dalam era digital masa kini, terlalu banyak maklumat bersifat terbuka dan tidak ditapis yang tersebar di media sosial hingga mengelirukan masyarakat, termasuk dalam kalangan anak muda.

"Oleh itu, program seperti ini amat penting untuk memberikan penjelasan yang sahih dan membina kerangka pemikiran yang lebih jelas serta bertanggungjawab," ujarnya.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI