PORT DICKSON, 20 Julai - Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI bersempena Pemukiman Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen Kerajaan MADANI yang berlangsung selama dua hari bermula semalam menjadi platform untuk mendekatkan barisan pemimpin dengan rakyat.
Menurut Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Datuk Dr Roslan Hussin, program itu melibatkan lebih 120 ahli parlimen termasuk senator.
Katanya, barisan pimpinan kerajaan dapat turun padang mendekati masyarakat setempat menerusi pelaksaan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) disamping dapat mempamerkan kepada komuniti khususnya anak muda terhadap ciri kepimpiman yang ditonjolkan barisan pemimpin negara.
"Sudah tentu AKM akan bawa pimpinan utama Kerajaan MADANI bertemu rakyat dalam pelbagai program ini, sebagai salah satu program atau aktiviti yang kita lakukan.
"Sebenarnya banyak lagi usaha untuk tingkatkan kefahaman berkait rapat dengan pembentukan sebuah negara bangsa yang berasaskan nilai-nilai murni dalam Malaysia MADANI," katanya ketika ditemui RTM di Dataran Pacitan bagi program CSR Kenduri Rakyat, di sini
Program itu merangkumi aktiviti di Masjid Kem Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Tapak Projek Sejati MADANI Kg Sawah, Dataran Kampung Pacitan dan Padang Petanque Batu Satu.