fb fb fb fb fb

Program Ukhuwah Madani erat hubungan rakyat dengan pemimpin

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hadir memeriahkan Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI.

PORT DICKSON, 20 Julai - Lebih 120 pemimpin Kerajaan MADANI hadir memeriahkan Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI yang berlangsung di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama barisan menteri, timbalan menteri serta ahli Parlimen.

Program ini bertujuan menjadikan budaya pemimpin turun padang dan mendekati rakyat sebagai amalan berterusan, di samping membuka ruang kepada masyarakat menyampaikan pandangan, keperluan serta cadangan secara langsung kepada kepimpinan negara.

Menurut Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar, pihaknya amat menghargai keprihatinan para pemimpin yang turut serta dalam aktiviti gotong-royong mengecat Masjid Kem PUSASDA.

"Saya, bagi pihak seluruh warga PUSASDA dan kariah masjid ini, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan atas keprihatinan yang ditunjukkan.

"Saya berharap inisiatif sebegini dapat diteruskan dari semasa ke semasa, bukan sahaja untuk menyantuni komuniti tentera darat, tetapi juga jemaah di sekitar Port Dickson," katanya.

Masjid Kem PUSASDA yang dibina pada tahun 1998 itu mampu menampung antara 3,000 hingga 3,500 jemaah pada satu-satu masa.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI