PORT DICKSON, 20 Julai - Kerajaan terus komited memakmurkan negara dan mengutamakan kebajikan rakyat, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan serta nilai murni dalam tadbir urus negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat di peringkat akar umbi, meskipun petunjuk ekonomi negara seperti kadar inflasi dan pengangguran berada pada tahap rendah serta pertumbuhan ekonomi kekal positif.
"Kita turun dan dengar sendiri keluhan rakyat. Inilah semangat Kerajaan MADANI bukan hanya melihat angka ekonomi semata-mata, tetapi benar-benar memahami suara rakyat di bawah," katanya semasa berucapan pada Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI di Dataran Kampung Pachitan, di sini, hari ini.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh barisan jemaah menteri dan ahli parlimen kerajaan yang terus bersatu dalam usaha membangunkan negara, meskipun datang daripada pelbagai latar belakang politik.
"Walaupun kita merupakan gabungan pelbagai parti, semangat untuk membangunkan negara dan berkhidmat kepada rakyat kekal menjadi keutamaan bersama," ujarnya.
Beliau menegaskan, segala keputusan kerajaan dibuat secara kolektif bersama barisan kepimpinan dan kementerian berkaitan, selaras dengan amalan demokrasi serta pendekatan berteraskan musyawarah.
Tambahnya, kestabilan dan keamanan yang dinikmati negara pada hari ini adalah hasil daripada kerjasama semua pihak.
"Alhamdulillah, kita aman, kita stabil. Maka, inilah ruang terbaik untuk kita tumpukan kepada usaha membangunkan negara serta menjaga kebajikan rakyat," katanya.
Majlis turut dihadiri oleh kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, barisan menteri kabinet, ahli parlimen kerajaan serta pemimpin setempat, menzahirkan semangat kesepaduan dalam mendukung pembangunan negara secara inklusif dan berteraskan nilai.