PORT DICKSON, 20 Julai - Inisiatif Jualan Rahmah MADANI terus mendapat sambutan hangat dan diiktiraf sebagai langkah intervensi berkesan kerajaan meringankan kos sara hidup rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan Jualan Rahmah di dua lokasi di sini sempena Program Ukhwah Kepimpinan Kerajaan MADANI menjadi medium mendapatkan maklum balas langsung daripada rakyat.
“Melalui interaksi bersama penduduk, mereka menyatakan kegembiraan dan mengakui bahawa Jualan Rahmah MADANI benar-benar memberi kesan dan sampai kepada rakyat.
"Mereka juga berpuas hati dengan barangan yang ditawarkan kerana menepati keperluan harian,” katanya ketika ditemui media di Dataran Kampung Pachitan, di sini.
Tambah beliau, antara maklum balas yang diterima termasuk permintaan terhadap penambahbaikan dan penambahan jenis barangan atau SKU agar selari dengan keperluan semasa penduduk setempat.
Program bukan sahaja membantu penduduk bandar, malah diperluas ke kawasan pinggir bandar di seluruh negara demi memastikan manfaatnya dirasai secara menyeluruh.
Di Port Dickson, Jualan Rahmah dilaksanakan di dua lokasi iaitu Dataran Kampung Pachitan dan Gelanggang Petanque Batu 1.