PUTRAJAYA, 20 Julai – Golongan muda dan mahasiswa disaran untuk menggunakan kebebasan yang dimiliki hari ini secara matang dan bertanggungjawab, selaras dengan semangat demokrasi dan nilai perpaduan dalam negara.
Menurut Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, tahap kebebasan yang dinikmati oleh mahasiswa kini jauh lebih baik berbanding tahun-tahun lampau.
Ini termasuk dari segi hak berhimpun, kebebasan bersuara serta ruang untuk mengurus aktiviti secara autonomi.
“Mahasiswa sekarang mempunyai lebih banyak ruang boleh mengurus kewangan sendiri, menganjurkan program, malah menyuarakan pandangan secara terbuka termasuk melalui demonstrasi. Ini adalah satu perkembangan yang positif,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan agar golongan muda lebih berwaspada supaya tidak disalahgunakan pihak berkepentingan yang cuba membawa agenda politik tersendiri.
“Kerajaan tidak menyekat suara anak muda. Cuma penting untuk mereka tidak menjadi alat kepada mana-mana kumpulan yang ada niat terselindung untuk menggugat kestabilan negara,” katanya.
Tambah beliau, tiada tindakan undang-undang dikenakan terhadap mana-mana pihak hanya kerana menyertai demonstrasi aman, membuktikan keterbukaan Kerajaan MADANI dalam menghormati suara rakyat.
“Mahasiswa adalah golongan terpelajar. Mereka perlu menilai isu-isu semasa secara kritis dan berfikir dengan matang demi masa depan negara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Forum Wacana “Maslahah Negara: Kaca Mata Anak Muda” anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Putrajaya.