fb fb fb fb fb

Kerajaan MADANI laksana keputusan berani demi kepentingan negara

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim ketika ditemui media pada Forum Wacana "Maslahah Negara: Kaca Mata Anak Muda" di Putrajaya

PUTRAJAYA, 20 Julai - Kerajaan MADANI mengambil langkah berani dan realistik dengan melaksanakan keputusan-keputusan sukar, demi kelestarian ekonomi dan kesejahteraan rakyat dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, segala keputusan dibuat berlandaskan keperluan fiskal negara dengan mengambil kira kadar pertumbuhan ekonomi, inflasi, peluang pekerjaan dan aliran pelaburan keluar masuk yang disokong oleh data dan fakta.

Jelas beliau, penyasaran semula subsidi dan peluasan percukaian, antara contoh jelas bagaimana kerajaan tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan lama yang tidak mampan.

“Semua pimpinan terdahulu pernah menyatakan bahawa subsidi menyeluruh tidak boleh diteruskan. Namun, tiada siapa yang benar-benar berani melaksanakannya kerana kekurangan keazaman politik atau 'political will' yang kuat.

"Walaupun langkah ini mungkin tidak popular, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap memilih untuk melaksanakannya demi kestabilan ekonomi negara dalam jangka panjang. Jadi kita tidak boleh terus menangguhkan keputusan-keputusan penting ini hanya kerana kebimbangan politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Forum Wacana "Maslahah Negara: Kaca Mata Anak Muda" anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini.

Dalam pada itu, Muhammad Kamil menyeru semua pihak agar melihat komitmen ini dengan fikiran matang dan terbuka, selain tidak terperangkap dalam permainan persepsi oleh segelintir pihak.

"Sewajarnya dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, semua pihak tampil dengan cadangan yang membina bukannya sekadar mengkritik,” katanya.

MASNIZA AWANG KECHIK