fb fb fb fb fb

Menteri, ahli parlimen turun padang santuni masyarakat secara lebih dekat

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail / Foto RTM

PORT DICKSON, 20 Julai - Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ukhuwah MADANI bersempena dengan Pemukiman Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen Kerajaan MADANI di Port Dickson bermula seawal pukul 8.00 pagi di beberapa lokasi di sini, hari ini.

Salah seorang peserta, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program seumpama itu dapat membuka ruang dan peluang untuk barisan jemaah menteri dan ahli parlimen mendekati komuniti secara lebih dekat menerusi aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

"Kita memilih tiga lokasi utama sebagai destinasi program bagi memberi peluang untuk berinteraksi secara langung dengan komuniti setempat. Apabila kita mengenali sesuatu komuniti, seperti kampung ini yang terkenal dengan produk 'homestay'-nya, kita dapat melihat sendiri potensi dan kelebihannya.

Pendekatan MADANI bukan sekadar untuk membangunkan negara dari sudut fizikal dan ekonomi semata-mata, tetapi juga untuk membangunkan potensi individu dalam kalangan rakyat," katanya kepada media selepas menyertai aktiviti mengecat jeti di sini, hari ini.

Seramai 50 peserta Kumpulan B yang terdiri daripada 11 menteri, 11 timbalan menteri dan 28 ahli parlimen menjalankan aktiviti seperti mengecat jeti, jualan produk laut dan melawat pameran di kawasan jeti.

Antara lokasi yang dilawati ialah Jeti Nelayan Kampung Teluk Pelanduk.

Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI turut melibatkan aktiviti di Masjid Pusasda, Tapak Projek Sejati MADANI Kg Sawah, Dataran Kampung Pacitan dan Padang Petanque Batu Satu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan program Gotong Royong Kenduri Rakyat di Dataran Pacitan, di sini, hari ini.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE