KANGAR, 20 Julai - Penganjuran Program Kacau Bubur Asyura@Homestay merupakan inisiatif Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) negeri Perlis bagi mengeratkan hubungan antara kementerian dan komuniti setempat.
Program ini juga berperanan memperkukuh kerjasama antara komuniti, penggiat industri pelancongan, agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri berkenaan.
Menurut Penyelaras Program, Cham Pa Song, pelaksanaan aktiviti ini mampu memperkasa jaringan kerjasama dan meningkatkan penglibatan masyarakat dalam pelancongan berasaskan komuniti.
Program dianjurkan dengan kerjasama Pengusaha Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) itu telah menghimpunkan lebih 200 peserta daripada kalangan penduduk setempat.
Sebanyak lima periuk besar bubur asyura dimasak secara gotong-royong, menghasilkan 750 pek dan diagihkan kepada anak-anak yatim, penghuni rumah kebajikan warga emas serta komuniti sekitar.
Program ini turut mendapat sokongan pelbagai agensi dan pertubuhan, termasuk Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) Negeri Perlis, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, Persatuan Amal Bakti, Persatuan Veteran ATM, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan komuniti setempat.