JERLUN, 20 Julai - Sebanyak 30 isi rumah sekitar Jerlun dan Ayer Hitam di Kedah menerima sumbangan bakul makanan menerusi Program Ziarah Kasih MADANI.
Ketua program Mohammad Rudzi Samsudin berkata, program itu menyasarkan pesakit terlantar, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai tanda prihatin terhadap golongan yang memerlukan.
"Ziarah Kasih MADANI adalah lebih daripada sekadar bantuan. Ia membina silaturahim dan menyemai semangat kebersamaan," katanya.
Daripada jumlah tersebut, 10 keluarga menerima sumbangan menerusi kunjungan wakil ke kediaman mereka, manakala 20 lagi keluarga menerima sumbangan yang disampaikan dalam satu majlis.
Menurut Rudzi, program tersebut akan diteruskan dengan menyasarkan lebih ramai penerima pada masa akan datang, manakala pengisian program tertumpu kepada yang menjana ekonomi penduduk setempat.