PUTRAJAYA, 5 Julai- Individu yang dipercayai ejen membawa masuk warga China dalam insiden kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, sudah dikenal pasti.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang giat memburu suspek yang juga dipercayai bekerja dengan sebuah syarikat menguruskan kemasukan pelancong yang bertempat dalam premis lapangan terbang itu.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki tidak menafikan, ejen tersebut masih berada di negara ini.
"Jadi, kita masih lagi mengesan ejen berkenaan kerana kita cuba kenal pasti apakah bentuk wang yang dikatakan ataupun yang diminta daripada pelancong perempuan itu.
"Kita syak individu yang meminta itu merupakan warga asing kerana mereka bercakap dalam bahasa mereka sendiri dan menggunakan aplikasi 'WeChat'," katanya kepada pemberita di sini.
Tan Sri Azam memaklumkan pelancong wanita China terbabit difahamkan telah pulang ke negara asalnya bersama seorang rakan senegara dan SPRM tidak mempunyai kuasa untuk menahan pelancong wanita China tersebut memandangkan dia bukan suspek kes berkenaan.
Pihak SPRM turut mendapatkan keterangan wanita itu sebelum pulang ke China.
Syarikat ejen pelancongan tersebut dipercayai telah beroperasi sejak 2017 bagi menguruskan tiket kapal terbang dan makan minum kepada kumpulan pelancong yang mengunjungi Malaysia.
(Azam Baki)