PUTRAJAYA, 5 Julai- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini memiliki akaun Tik Tok sendiri bagi menyampaikan maklumat seiring perkembangan zaman dan teknologi terkini.
Pada masa sama ia bagi menjalin kerjasama lebih erat dengan pengamal media sebagai usaha menyalurkan mesej berkaitan rasuah dengan lebih tepat dan telus kepada rakyat.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, perkara itu termasuk memberi hebahan berkaitan rasuah secara lebih idealistik, realistik, menarik dan berkesan, selari perubahan media masa kini.
"Masyarakat lebih minat kepada maklumat-maklumat yang dipaparkan dalam media sosial seperti penghasilan video pendek, infografik dan informasi pelbagai aplikasi media sosial.
"Jadi, kami cuba memberi informasi kepada masyarakat tentang apa yang kita lakukan selain aktiviti-aktiviti serta maklumat yang perlu disampaikan," katanya pada majlis penutup 'Program Pemantapan Rakan Strategik Media SPRM 2023 di sini.
Menurut Azam Baki, perkara untuk mendidik masyarakat memerlukan kerjasama pakar dalam bidang masing-masing supaya pengguna media sosial lebih beretika.
(Azam Baki menunjukkan akaun Tik Tok SPRM kepada media)