(FOTO BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 6 Julai- Agensi pembangunan industri halal, Halal Development Corporation Bhd (HDC) wajar bekerjasama dengan Kementerian Luar untuk menerajui agenda diplomasi halal.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia telah menjadi rujukan banyak negara asing dalam membina ekosistem halal mereka.
"Dengan ekosistem halal kita menetapkan piawaian global, saya percaya bahawa peluang kita sangat luas.
"Marilah kita tingkatkan lagi usaha untuk mendominasi pasaran.
"HDC seharusnya bukan sahaja menumpukan kepada produk atau perkhidmatan halal berbentuk fizikal tetapi juga menggunakan ini sebagai peluang untuk mengeksport pengetahuan halal kita melalui Diplomasi Halal Malaysia," kata Ahmad Zahid ketika berucap di Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia 2022 di sini.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
"Konsep baharu diplomasi halal ini mampu menetapkan piawaian emas global termasuk memudahkan perkhidmatan halal merentasi sempadan, menggalakkan perkongsian teknologi dan penyelidikan dalam memastikan proses pengesahan halal yang tersusun," tambah Ahmad Zahid.
(Datuk Seri Ahmad Zahid berkata Malaysia telah menjadi rujukan banyak negara asing dalam
membina ekosistem halal mereka/BERNAMA)