KUALA LUMPUR, 17 Jun - Seorang penunggang motosikal memandu secara lawan arus di Lebuhraya Duta-Hulu Kelang (SUKE) yang disyaki menyebabkan kematian seorang lagi penunggang motosikal akhirnya tampil menyerah diri di balai polis semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, lelaki berusia 41 tahun itu membuat laporan polis pada Jumaat lalu di Balai Polis Trafik Kajang.
Mohd Azam berkata, suspek hanya mengetahui tindakannya telah menyebabkan kematian setelah menonton berita di televisyen serta membaca hebahan di media sosial.
"Suspek bertindak demikian akibat tersesat jalan dalam perjalanan dari Ampang dan mengambil keputusan melawan arus untuk pulang ke rumahnya di Kajang.
"Suspek memasuki jejambat Lebuhraya SUKE dengan melawan arus sehingga kemalangan berlaku.
"Akibat pergeseran dengan motosikal mangsa, suspek juga terjatuh dari motosikalnya, namun dia terus pulang ke rumah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Akibat perlanggaran itu suspek mengalami patah di bahagian bahu kanan dan jari kelingking, selain luka di bahu kiri serta kaki kanan.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, suspek tidak ditahan kerana kecederaan dialaminya masih belum sembuh dan sukar untuk bergerak.
Sehingga setakat ini polis telah merekodkan sebanyak enam rakaman percakapan saksi termasuk suspek.
“Sebuah motosikal jenis Yamaha telah dirampas bersama dengan beberapa barang kes lain.
“Kedua-dua buah motosikal terlibat kemalangan akan dihantar ke PUSPAKOM dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan terperinci. Prosedur lanjut akan diambil setelah keadaan suspek stabil, tetapi siasatan masih diteruskan," katanya.
(Mangsa maut semasa elak penunggang motosikal lawan arus di susur keluar SUKE menghala ke MRR2, di Ampang Jaya Rabu lalu/FOTO Bomba Selangor)
Rabu lalu, mangsa Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64 meninggal dunia selepas tercampak dari jejambat lebuh raya berkenaan dengan ketinggian 30 meter.
Mangsa yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Panigale itu cuba mengelak selepas sebuah motosikal yang dipandu melawan arus.
Motosikal yang ditunggang mangsa turut terseret ke tengah jalan, manakala mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang pagar Stesen Kawalan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) Sungai Klang.