fb fb fb fb fb

Peruntukan RM8.9 juta bagi institusi berteraskan Islam di Kedah

KUBANG PASU, 17 Jun- Sebanyak RM8.9 juta peruntukan disalurkan bagi membantu institusi pendidikan berteraskan Islam, di Kedah.

Jumlah itu termasuk RM1.985 juta peruntukan tambahan yang disalur kepada 28 pondok, tahfiz, maahad dan sekolah agama berdaftar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi meningkatkan tahap dan mutu pendidikan Islam di negeri itu.

Tambah Anwar, ia sebagai usaha menyuburkan lagi pendidikan berteraskan Islam di Kedah.

"Jumlah peruntukan, kita tambah RM821.47 juta untuk operasi pebangunan pendidikan Islam terutama 228 sekolah agama bantuan kerajaan yang mendaftar di bawah kementerian.

"Ini tambahan dalam keadaan wang tidak ada, dalam keadaan hutang banyak, defisit saya tidak tinggal soal sekolah, soal klinik dan soal imarah masjid dan program Islam," katanya dalam ucapan merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah Melele di Jitra.

Selain itu, lebih RM600,000 disalurkan kepada 36 buah institusi pendidikan Islam untuk tujuan kursus, latihan guru serta bantuan pendidikan.

Manakala bagi membantu membaik pulih dan menaik taraf kemudahan pendidikan Islam, sebanyak RM6.4 juta diberikan.

Sementara itu, menurut Anwar "sebanyak RM2.94 juta diperuntukkan kepada 588 masjid di seluruh negeri itu, bagi melaksanakan pengimarahan masjid sempena Hari Raya Aidil Adha.

"Setiap masjid yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah bakal menerima agihan sebanyak RM5,000."

(Anwar Ibrahim)

Media Baharu