KOTA TINGGI, 17 Jun- Semua universiti awam perlu terlebih dahulu membuat penilaian risiko, sebelum bersetuju membenarkan sebarang penganjuran aktiviti sosial.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu bertujuan memastikan pengisian program tidak mencemarkan imej baik universiti.
Tegasnya, saranan dibuat susulan video tular di sebuah universiti awam di Terengganu, baru-baru ini yang memaparkan suasana konsert bercampur pelajar lelaki dan wanita.
Malah katanya, penganjur juga boleh berbincang dengan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar universiti untuk mencapai keputusan terbaik.
"Akhir-akhir ini oleh kerana ada insiden yang mungkin mencemarkan sedikit pengisian dalam konsert itu, maka saya telah minta universiti lebih berhati-hati...supaya pihak universiti pastikan dalam nak menganjurkan konsert itu ada dilakukan penilaian risiko," katanya.
(Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin)
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Felda Bukit Easter, di sini hari ini.
PTPTN diminta nilai semula pinjaman jika sistem pembelajaran hibrid dilaksana
Selain itu, Mohamed Khaled berkata Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah diminta menilai semula pinjaman yang dikenakan kepada pelajar, sekiranya sistem pembelajaran secara hibrid atau anjal dilaksanakan.
Menurutnya, pembelajaran secara hibrid bukan diwajibkan, sebaliknya sekadar satu pilihan. Pelajar boleh memohon belajar secara anjal yang hanya melibatkan subjek-subjek tertentu.
"Dia boleh mohon secara anjal tetapi ia hanya meliputi beberapa subjek yang sesuai dilakukan secara anjal, bukan semua, hanya dalam 90 bidang sahaja yang sesuai dilakukan anjal," jelasnya.
Terdahulu, Presiden Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Nur Nazirah Abdullah mencadangkan, yuran IPTA wajar dikurangkan 50 peratus sekiranya sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal dilaksanakan di semua universiti awam.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata tawaran kemasukan ke semua IPTA dan politeknik bagi pelajar lepasan SPM masih belum dibuka.Â
Justeru, beliau menegaskan, agar tidak terpedaya dengan sebarang tawaran yang diterima menerusi Telegram, Instagram atau mana-mana laman media sosial, kerana tindakan itu hanya mahu mendapatkan duit semata-mata.