PUTRAJAYA, 7 Ogos - Belanjawan 2026 adalah belanjawan sulung yang mendukung matlamat Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dan akan menumpukan kepada tiga teras utama iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai serta memperkukuh tatakelola baik dalam pentadbiran negara.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata dalam usaha agenda digital dan kecerdasan buatan terus diberi tumpuan selari usaha membudayakan daya cipta bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi berteraskan penciptaan nilai.
Beliau turut berkata kerajaan juga akan terus mengupayakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat pemula niaga supaya menjadi pengeluar produk dan perkhidmatan “Made by Malaysia” (Buatan Malaysia).
"Dalam Menaikkan Siling; Dalam meningkatkan daya saing negara, sektor berpertumbuhan dan bernilai tinggi akan terus disokong terutamanya melibatkan industri semikonduktor, peralihan tenaga dan ekonomi Islam.
"Kerajaan akan terus mengupaya PMKS dan syarikat mula niaga agar menjadi pengeluar produk dan perkhidmatan Made by Malaysia,” katanya pada ucaptama Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di sini.
Ke arah menaikkan lantai, Datuk Seri Amir Hamzah juga memaklumkan tumpuan kerajaan kekal untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Jelasnya, tumpuan itu selari agenda RMK-13 untuk mereformasi pendidikan dan kesihatan.
“Dengan kehadiran wakil NGO serta persatuan sosial, kita dapat bersama-sama berikhtiar membantu rakyat termiskin secara holistik selain memperkasa jaringan perlindungan sosial. Peningkatan pendapatan rakyat dan meringankan tekanan kos sara hidup juga akan terus menjadi ikhtiar utama Kerajaan dalam Belanjawan 2026,” katanya pada majlis sama.
Beliau turut mengalu-alukan penglibatan aktif semua pihak bagi memberi maklumbalas yang menjadi asas penting ke arah penyediaan Belanjawan 2026.
Sesi libat urus ini dihadiri hampir 300 individu yang mewakili insitusi penjawat awam, sektor industri, dewan perniagaan, teknokrat, pakar ekonomi, para ilmuan, NGO dan pertubuhan antarabangsa.
Acara berkenaan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Datuk Mohammad Faiz Azmi.