fb fb fb fb fb

Malaysia rangka langkah mitigasi susulan tarif 100% AS ke atas cip semikonduktor

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 7 Ogos -Malaysia sedang mengambil beberapa langkah mitigasi utama, termasuk berunding secara aktif dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) susulan pengumuman baharu AS untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas cip semikonduktor yang diimport dari negara luar.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, buat masa ini eksport semikonduktor Malaysia ke AS masih dikecualikan daripada tarif timbal balas.

Katanya, jika ia dilaksanakan Malaysia berisiko kehilangan pasaran utama di AS berikutan produk negara menjadi kurang kompetitif.

"Kita mengambil inisiatif untuk mendapatkan perjelasan rasmi dan memperjuangkan kepentingan bagi sebuah Malaysia. Pagi ini kita sudah bercakap sebenarnya tetapi ada perbezaan masa. Kita akan memperjuangkan kepentingan pengeksport Malaysia agar sebarang perubahan dasar atau kriteria pengecualian dapat disampaikan serta dirunding lebih awal supaya kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik sentiasa terpelihara," kata Tengku Datuk Seri Zafrul.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mengenai pengumuman Presiden Donald Trump bahawa negara itu akan mengenakan tarif sekitar 100 peratus ke atas cip semikonduktor yang diimport dari negara luar.

TETITIA YUSOFF