fb fb fb fb fb

Suspek kes samun langgar kenderaan polis, awam ditahan

(Tangkap layar kereta suspek terbabas selepas melanggar bonggol jalan dengan kelajuan tinggi di
Kampung Pendamar di Klang, Selangor pada 12 Februari 2023)

KLANG, 13 Februari- Seorang suspek kes samun yang memandu secara melulu dan berbahaya dengan merempuh beberapa kenderaan awam serta polis berjaya ditahan di Jalan Kem, Pelabuhan Klang, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.00 malam, lelaki berusia 31 tahun itu dikejar sepasukan polis dari Banting ke Klang melalui Teluk Panglima Garang sehingga ke lokasi suspek ditahan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian tembak di kawasan Kampung Pendamar, Pelabuhan Klang membabitkan dua kereta.

"Bertindak di atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan menjalankan siasatan di tempat kejadian mendapati sepasukan polis dari Cawangan D9, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengejar suspek yang terbabit kejadian samun di Subang Jaya.

"Suspek yang memandu kereta Proton Inspira memandu secara berbahaya sehingga melanggar beberapa kenderaan orang awam ketika berada di kawasan Masjid Kampung Pendamar, Klang.

"Suspek turut melanggar kereta digunakan oleh pasukan polis secara agresif sehingga hampir melanggar kenderaan lain sekali gus memaksa pihak polis melepaskan beberapa das tembakan," katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Cha berkata, kereta suspek terbabas di Kampung Pendamar selepas melanggar bonggol jalan dengan kelajuan tinggi sebelum melanggar sebuah kereta orang awam dan melarikan diri ke kawasan perkampungan.

Namun, suspek kembali ke lokasi keretanya terbabas dan memandu kenderaan digunakan pasukan polis dalam usaha meloloskan diri.

"Pasukan polis sekali lagi bertindak nekad melepaskan beberapa das tembakan bagi mengelakkan suspek melarikan diri dan mengancam nyawa orang awam dalam usaha melarikan diri.

"Akhirnya, suspek berjaya ditahan di kawasan Jalan Kem, Pelabuhan Klang. Suspek adalah seorang lelaki tempatan dan mempunyai pelbagai rekod lampau kesalahan jenayah serta dadah.

"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cubaan bunuh yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun," katanya.

Beliau berkata, suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Subang Jaya bagi siasatan lanjut berhubung kejadian samun yang disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan dengan kejadian itu, boleh disalurkan terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33719999 atau mana mana balai polis yang berhampiran.

(Tangkap layar video tular kejadian polis mengejar suspek kes samun
pada 12 Februari 2023)

Media Baharu