fb fb fb fb fb

Cadang perluas inisiatif Rahmah libat sektor korporat, perbankan - Salahuddin

KUALA LUMPUR, 13 Februari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang untuk memperluaskan inisiatif Rahmah bukan sahaja dalam industri makanan tetapi turut melibatkan sektor korporat dan perbankan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata terdapat maklum balas positif diterima melalui sesi libat urus bersama pengusaha industri makanan serta pakaian dan mungkin juga reaksi sama dari sektor korporat dan perbankan.

Tambah beliau, sesi libat seterusnya bersama sektor perbankan dan korporat bakal dijalankan dalam tempoh empat bulan lagi.

"Jadi kalau kita pergi nanti kepada sektor-sektor korporat yang lebih besar, Petronas sebagai contoh, Sime Darby, GLC dan juga bank-bank, saya yakin lebih banyak lagi mereka ini, ataupun syarikat-syarikat ini akan tampil untuk membantu menangani kos sara hidup," katanya.

(Datuk Seri Salahuddin Ayub)

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Menu Rahmah oleh Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, Presma di restoran Nasi Kandar Stadium Cheras, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh dan Setiausaha Agung Presma, Habebur Rahman Shahul Hameed.

Program itu merupakan sebahagian daripada Jelajah Menu Rahmah seluruh negara yang telah dilancarkan pada Januari lepas sebagai antara usaha kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata KPDN tidak meletakkan KPI khusus berkenaan program Rahmah, namun yang paling penting mengambil pendekatan terbaik dalam memastikan kebajikan rakyat terus dijaga.

Media Baharu