(Seorang lelaki yang disyaki membunuh abang dan kakak iparnya di sebuah rumah di Taman Bercham
Aman, di Ipoh pagi semalam direman seminggu untuk membantu siasatan/Foto BERNAMA)
IPOH, 8 Julai - Suspek kes bunuh sepasang suami isteri di Taman Bercham Aman, Ipoh semalam ditahan reman selama seminggu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 61 tahun itu dibuat di hadapan Majistret Mahkamah Ipoh, Jesseca Daimis bermula hari ini hingga Khamis depan.
Suspek ditahan di Genting Highlands, Pahang pada pukul 7.45 malam tadi selepas operasi mencarinya giat dilakukan pihak polis.
(Sepasang suami isteri ditemukan maut dengan berlumuran darah dipercayai dibunuh ahli keluarga
sendiri di ruang tamu rumah mereka di Taman Bercham Aman, pagi semalam/ Foto BERNAMA)
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dalam satu kenyataan memaklumkan suspek direman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam kejadian semalam, sepasang suami isteri ditemui mati dipercayai dibunuh ahli keluarga sendiri di kediaman mereka di Taman Bercham Aman, Ipoh.
Mayat Ng Chun Hon, 64 tahun dan Ooi Tin Lu, 59 tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan.