PUTRAJAYA, 1 Oktober - Kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) memenangi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat oleh T4 Education, berhasil mengharumkan nama negara di pentas pendidikan global.
Jelas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pencapaian itu membuktikan bahawa inovasi dan amalan terbaik di sekolah mampu menjadi sumber inspirasi kepada dunia.
“Tahniah dan syabas kepada warga sekolah, Kementerian Pendidikan (KPM) serta semua pihak terlibat. Inilah contoh sebenar semangat Malaysia MADANI dalam mendidik, menginspirasi dan membina masa depan,” katanya menerusi hantaran di laman sosial X.
SK Putrajaya Presint 11(1) berjaya menewaskan sekolah-sekolah yang disenarai pendek daripada Turkiye, India, Filipina, United Kingdom, Vietnam, Mexico, Brazil dan Thailand.
Kejayaan itu hasil pembangunan aplikasi mudah alih dikenali sebagai HELPIE yang bertujuan meningkatkan kesedaran serta memberi sokongan kesihatan mental dalam kalangan murid sekolah.
Lebih 1,000 murid telah menerima manfaat HELPIE sejak ia dilancarkan pada 2023 hingga kini.