fb fb fb fb fb

TUDM terima 7 bot penyelamat sumbangan Kerajaan Jepun

Foto FB Tentera Udara Diraja Malaysia

JUGRA, 1 Oktober - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menerima tujuh bot penyelamat jenis JE-470 dari Kerajaan Jepun untuk kegunaan Pasukan Khas Udara (PASKAU) bawah Official Security Assistance (OSA) Programme.

Penyerahan berlangsung di Pangkalan Udara Jugra, Banting dengan simbolik disempurnakan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki kepada Panglima Operasi Udara TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Masro Kaliwon, mewakili Panglima Tentera Udara. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Program OSA bermula selepas Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Disember 2023 meluluskan geran bernilai ¥400 juta (RM12.63 juta) daripada Jepun bagi pembelian peralatan bukan persenjataan. Perjanjian Exchange of Notes (EN) dimeterai pada 16 Disember 2023 bersama Japan International Cooperation System (JICS).

TUDM, menerusi satu hantaran di laman Facebook memaklumkan, sejak September lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula menerima aset secara berperingkat termasuk Unmanned Aerial Vehicle (UAV) Drone, bot penyelamat dan Road Cleaning Truck (RCT). UAV telah diagihkan kepada Tentera Darat, Tentera Laut serta Markas ATM; Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan.

"Perolehan tujuh bot penyelamat ini akan meningkatkan keupayaan PASKAU dalam operasi udara, operasi khas serta Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR), sekali gus memperkukuh tahap kesiapsiagaan TUDM.

"Kerjasama pertahanan strategik Malaysia-Jepun ini juga menegaskan komitmen Tokyo dalam menyokong kestabilan serantau, khususnya pemantauan maritim, kawalan sempadan dan operasi keselamatan," menurut hantaran tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE