fb fb fb fb fb

KKM lancar sistem P3S, permudah pertukaran penempatan jururawat

Foto fail

PUTRAJAYA, 1 Oktober -Sistem Pertukaran Suka Sama Suka (P3S) dilancarkan bagi mengurangkan birokrasi penempatan serta mempercepatkan proses pertukaran penempatan, sekali gus menjaga kebajikan warga kesihatan.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan, fasa pertama pelaksanaan P3S bermula hari ini melibatkan skim jururawat bawah Bahagian Kejururawatan.

Selepas skim jururawat, sistem ini akan diperluas secara berfasa mulai tahun depan kepada Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Pegawai Farmasi dan Penolong Pegawai Farmasi.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi https://p3s.moh.gov.my dengan syarat kelayakan dan tatacara permohonan boleh dirujuk dalam garis panduan di portal tersebut.

"Sebelum ini, proses pertukaran pegawai KKM dilaksanakan secara manual. Disebabkan jumlah permohonan yang tinggi, proses sering mengambil masa panjang dan mendorong penggunaan saluran tidak rasmi,” menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan P3S kini menjadi platform rasmi bagi mempercepat padanan, memperkemas aliran kerja serta menjadikan proses lebih telus dan adil tanpa mengubah peraturan kelulusan sedia ada.

Menurut kementerian, pelaksanaan sistem ini membolehkan proses pertukaran menjadi lebih mudah, cepat dan telus.

"Pentadbiran di peringkat Pejabat Tanggungjawab (PTJ) hanya perlu mengesahkan kelayakan pegawai dan surat penempatan baharu akan dijana secara automatik selepas padanan berjaya dibuat. Pegawai terlibat perlu melapor diri serentak di lokasi penempatan baharu pada tarikh kuat kuasa rasmi," menurut kenyataan itu.

TETITIA YUSOFF