fb fb fb fb fb

Perak larang lesen penjualan vape mulai 2026

Kerajaan Negeri Perak meluluskan Polisi Larangan Lesen Penjualan Rokok Elektronik atau vape yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026/Foto Hiasan

IPOH, 1 Oktober – Kerajaan Negeri Perak meluluskan Polisi Larangan Lesen Penjualan Rokok Elektronik atau vape yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India, A. Sivanesan berkata keputusan itu menjadikan Perak negeri ketujuh melaksanakan polisi berkenaan selepas Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pahang.

Menurut beliau, pelaksanaan larangan itu akan dijalankan secara dua peringkat sebagai usaha melindungi generasi muda daripada penyalahgunaan serta ketagihan nikotin di negeri itu.

“Permohonan baharu tidak akan dilayan selepas 1 Januari 2026. Mana-mana pihak yang memohon sebelum 31 Disember 2025 masih dibenarkan, namun lesen tersebut hanya sah untuk tempoh setahun. Selepas tamat tempoh itu, mereka tidak lagi boleh memohon lanjutan,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, larangan tersebut akan berkuat kuasa ke atas semua kategori premis perniagaan di seluruh negeri tanpa pengecualian jenis mahupun waktu operasi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN