KUALA LUMPUR, 28 Mei- Malaysia bakal menubuhkan sebuah Suruhanjaya Halal bagi mengukuhkan standard halal serantau tanpa melibatkan perbelanjaan tambahan kerajaan selain memastikan penggunaan sumber sedia ada secara optimum.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang mempengerusikan pembentukan suruhanjaya tersebut berkata, pelaksanaan inisiatif itu akan diselaraskan melalui Halal Development Corporation (HDC).
"Ini bukan hanya penubuhan sebuah suruhanjaya, tetapi langkah strategik untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan halal peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Forum Ekonomi ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang diadakan di ibu negara.
Penubuhan Majlis Halal ASEAN yang dijangka dimuktamadkan pada September depan pula merupakan sebahagian daripada usaha penyelarasan kerjasama halal di peringkat serantau.
Sementara itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengendalikan sistem pensijilan halal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan lebih 40 negara sekali gus membuktikan bahawa Malaysia mampu memainkan peranan utama dalam perkara itu.
"JAKIM tidak akan berkompromi dalam soal pematuhan halal. Piawaian yang ditetapkan adalah ketat, konsisten dan diterima secara meluas," katanya lagi.
Dalam usaha meningkatkan keseragaman piawaian antarabangsa, Malaysia kini sedang berusaha untuk memperkenalkan satu logo halal antarabangsa menjelang November depan.
Perkara itu dilihat mampu mengelakkan kekeliruan dan memperkukuh keyakinan pengguna terhadap produk halal.
"Kita tidak memerlukan pelbagai logo halal dari pelbagai negara. Apa yang diperlukan ialah satu piawaian bersama yang boleh diterima di peringkat global," katanya.
Inisiatif itu turut mendapat perhatian dan komitmen kerjasama daripada negara-negara ASEAN, GCC dan China, yang sedang mempertimbangkan penggunaan piawaian halal Malaysia sebagai rujukan dalam sistem pensijilan mereka.