KUALA LUMPUR, 28 Mei – Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, mengumumkan peletakan jawatannya daripada Jemaah Menteri berkuat kuasa 17 Jun 2025.
Menerusi satu kenyataan hari ini , beliau memaklumkan telah menghantar surat peletakan jawatan rasmi kepada Perdana Menteri dan akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga tarikh peletakan jawatan berkuat kuasa 16 Jun depan.
“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat. Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru-baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan,” katanya.
Katanya lagi beliau meletak jawatan atas prinsip demokrasi, dengan memberi laluan kepada kepimpinan baharu untuk meneruskan agenda kerajaan.
Beliau turut merakam penghargaan kepada warga Kementerian Ekonomi atas sokongan dan dedikasi sepanjang tempoh perkhidmatannya, khususnya dalam merangka dasar serta program strategik negara.
Antara pencapaian terakhir beliau ialah penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan untuk dibentangkan di Parlimen pada sidang akan datang.
“RMK13 memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang menyeluruh, termasuk pembaharuan struktur di Kementerian Pendidikan. Saya berharap reformasi berani ini akan diteruskan walaupun saya tidak lagi berada dalam Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia, penjawat awam, pihak swasta, media dan semua pemegang taruh yang pernah berurusan sepanjang perkhidmatannya.