JOHOR BAHRU, 28 Mei- Seorang anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menerima rasuah RM1,000, dua tahun lalu.
Tertuduh, Wan Shazrul Wan Shamsuddin, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan daripada seorang lelaki berusia 30 tahun sebagai dorongan menyerahkan dokumen bersabit kes kemalangan jalan raya yang disiasat tertuduh.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di daerah Mersing pada 13 Disember 2023 kira-kira pukul 4 petang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta sama.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ameera D' Aneez Mohd Shukari, manakala tertuduh diwakili peguam, K. Bharathi.
Mahkamah menetapkan 8 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen, dan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin berserta dua syarat tambahan, iaitu lapor diri ke SPRM Johor Bahru serta menyerahkan passport kepada mahkamah.