fb fb fb fb fb

Malaysia perkukuh kedudukan sebagai peneraju industri halal

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 28 Mei- Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri halal di peringkat antarabangsa, khususnya dalam kalangan negara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penglibatan Malaysia dalam pernyataan bersama antara blok ekonomi tersebut membuktikan komitmen tinggi untuk memperluas kerjasama dalam pelaburan dan perdagangan.

Malaysia dilihat sebagai peneraju dalam pembangunan industri halal dan telah menerima cadangan kerjasama daripada beberapa negara untuk berkongsi pengalaman serta kepakaran teknikal.

"Malaysia secara konsisten dilihat sebagai antara negara peneraju dalam industri halal di peringkat antarabangsa. Beberapa negara menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama dengan Malaysia.

"...bagi tujuan perkongsian pengalaman serta penyelesaian isu-isu teknikal berkaitan dengan pembangunan dan pengurusan industri halal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ekonomi ASEAN-GCC 2025 yang berlangsung di ibu negara.

Perkara itu sebagai mengulas kenyataan bersama yang dikeluarkan ketiga-tiga blok – ASEAN, GCC dan China yang menekankan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

"Industri halal tidak hanya tertumpu kepada sektor makanan dan minuman (F&B), tetapi turut merangkumi bidang-bidang lain seperti logistik, farmaseutikal dan sebagainya.

"Kepentingan serta potensi industri ini merentasi sempadan negara Islam. Ia merupakan satu inisiatif strategik yang berpotensi untuk menjana pendapatan rakyat dan meningkatkan hasil negara secara menyeluruh," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI