KUCHING, 28 Mei- Seorang pejalan kaki warganegara asing yang merupakan pekerja am tapak pembinaan Transit Aliran Autonomi (ART) maut selepas terlibat dalam satu kemalangan.
Ketua Polis Daerah Kuching Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Alexson Naga Chabu berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6.50 petang semalam di Jalan Lapangan Terbang Kuching, di sini.
"Mangsa berumur lingkungan 52 tahun telah dilanggar oleh pemandu sebuah kereta Lamborghini.
"Pemandu merupakan seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 54 tahun yang sedang dalam perjalanan dari Jalan Lapangan Terbang Kuching ke Padungan.
"Akibat kemalangan itu, mangsa telah mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," menurut kenyataan itu.
Pemandu kenderaan itu ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau merbahaya sehingga menyebabkan kematian.