fb fb fb fb fb

Nilai akauntabiliti teras tadbir urus baik – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Mei - Teras kepada tadbir urus yang baik dapat diterjemahkan menerusi nilai akauntabiliti atau nilai tanggungjawab.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia mesti disertai dengan nilai moral dan kebebasan bagi membina institusi dan masyarakat yang bertanggungjawab dengan menggambarkan hasrat majoriti rakyat yang mahu membersihkan negara daripada gejala rasuah dan pembaziran.

“Kita bercakap tentang keterangkuman dan kelestarian, namun jika melihat kepada Wawasan Komuniti ASEAN 2045, ia sudah tentu berkait rapat dengan tadbir urus yang baik serta tanggungjawab, yang mewakili hasrat majoriti rakyat.

“Mereka mahu negara dibersihkan daripada rasuah yang berlarutan dan pembaziran. Justeru, saya amat menyokong peranan institusi audit ASEAN dalam melaksanakan visi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Datuk Seri Anwar turut menekankan, Malaysia kini telah menetapkan piawaian tertinggi dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti, dengan memantapkan kerangka kerja anti-rasuah melalui kebebasan institusi audit dan pengawal selia.

Tambah beliau, institusi audit negara wajar diberi kuasa untuk beroperasi secara bebas dan bebas campur tangan, sebagai langkah memperkukuh integriti sistem pentadbiran.

“Kita telah melangkaui piawaian untuk menegakkan ketelusan dan tanggungjawab tertinggi. Sudah tiba masanya kita bersedia menghadapi cabaran di peringkat negara mahupun rantau.

“Sebab itu, pada pandangan saya, institusi audit negara mesti mempunyai kuasa dan kebebasan mutlak untuk melaksanakan tanggungjawabnya secara telus, berpandukan prinsip akauntabiliti di mana sahaja ia berada,” ujarnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN