KUALA LUMPUR, 28 Mei- Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan bahawa beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Nik Nazmi dalam satu kenyataan di Facebooknya berkata peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa 4 Julai 2025 dan akan bercuti mulai esok hingga 3 Julai depan.
Keputusan itu dibuat susulan kegagalan beliau dalam mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden KEADILAN, baru-baru ini.
"Namun begitu, saya sedar bahawa kedudukan saya ketika itu sebagai Naib Presiden KEADILAN merupakan antara pertimbangan utama dalam pelantikan saya ke Kabinet.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penjawat awam yang berwibawa, pasukan di pejabat saya yang cemerlang, serta semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat sivil yang telah banyak mengajar saya dan memungkinkan pelaksanaan pelbagai reformasi penting sepanjang tempoh ini," kata kenyataan itu.
Tambahnya, beliau mengambil peluang itu untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen serta menumpukan perhatian kepada khidmatnya di Setiawangsa.
"Mengungkapkan semula kata-kata mendiang Ahli Parlimen Britain, Tony Benn: "Saya meninggalkan Kabinet untuk memberikan lebih masa kepada politik dan khidmat awam," jelasnya.
Terdahulu, Nik Nazmi menyandang jawatan sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada Disember 2022 hingga Disember 2023 dan seterusnya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada Disember 2023 hingga Julai 2025.
Menerusi kepimpinannya, kementerian tersebut
telah meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] - Fasa 1, serta peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
Selain itu, kejayaan sebagai antara negara terawal yang mengemukakan National Biodiversity Strategies and Action Plan (NBSAP), usaha membendung kemusnahan alam semula jadi.
"Hanya dalam beberapa minggu selepas dilantik, kami berjaya melaksanakan penyasaran semula subsidi elektrik di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) di Semenanjung Malaysia. Kami juga berjaya meluluskan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga di Dewan Rakyat.
Dalam sektor air, kami telah memperkenalkan Tariff Setting Mechanism yang amat diperlukan.
Pasukan NRES telah memulakan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dari peringkat paling asas dan kini berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan ke Jemaah Menteri dan Parlimen," katanya.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada Pejabat Perdana Menteri berhubung peletakan jawatan tersebut atau nama pengganti yang akan dilantik.