KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Penubuhan Suruhanjaya Halal dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), berupaya memperkukuh pembangunan industri halal negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata justeru, beliau menggalakkan pemain industri untuk mendapatkan pengiktirafan sijil halal tersebut.
Katanya pensijilan halal bagi produk makanan dan minuman diyakini mampu memberi nilai tambah kepada perniagaan. Ia selaras dengan kedudukan Malaysia yang menjadi tumpuan pelancong asing.
"Justeru, kita menggalakkan pemain-pemain industri, khususnya yang terlibat dalam sektor makanan dan minuman, untuk berusaha mendapatkan pengiktirafan halal.
"Dalam hal ini, JAKIM bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang giat berusaha mengurangkan kerenah birokrasi agar proses pengiktirafan halal dapat dipercepatkan.
"Usaha ini juga selari dengan agenda memperkukuh amalan perniagaan hijau di negara ini," katanya ketika ditanya mengenai keperluan premis kopitiam memiliki sijil halal.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) serta Pelancaran Menu Promosi Bulan Kebangsaan di Cawangan Ali, Muthu & Ah Hock Kopitiam di sini hari ini.
Dalam pada itu, semua pemain industri tempatan terutama usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu tampil dengan pendekatan terbaik bagi mempromosi kekuatan produk masing-masing ke peringkat lebih tinggi.
Menurut Datuk Armizan, ia sejajar usaha menarik pelancong asing ke dalam negara khususnya bersempena dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Promosi perlu dimulakan dari sekarang bagi memastikan impak yang maksimum. Kerajaan juga mempunyai pendekatan promosi tersendiri, namun pemain industri seperti peruncit serta peniaga makanan dan minuman disaran tampil dengan strategi masing-masing.
"Ini termasuk memanfaatkan kemajuan teknologi bagi memperluaskan capaian promosi mereka - bukan sahaja untuk menarik pengguna tempatan, malah pelancong asing," katanya.
Tambah beliau, langkah ini penting supaya mereka dapat melihat, merasai keunikan serta menikmati juadah tradisional yang menjadi kebanggaan Malaysia.
Berdasarkan laporan perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) semalam, sektor perdagangan pengedaran merupakan antara aktiviti utama di bawah sektor perkhidmatan yang telah mencatatkan pengukuhan sumbangan di suku kedua tahun ini.##