KUALA LUMPUR, 14 Mac- Surau Haji Mohammed Sanusi (SHAMS) di Menara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diwartakan sebagai Surau Jumaat berkuat kuasa hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata pewartaan itu memberi manfaat kepada warga kerja MAIWP serta penduduk dan pekerja sekitar Chow Kit yang kini mempunyai kemudahan tambahan untuk menunaikan solat Jumaat.
"Di sekitar kawasan ini sudah ada Masjid Kampung Baru dan Masjid Pakistan. Kini, kita mempunyai sebuah Surau Jumaat di Menara MAIWP yang membolehkan bukan sahaja warga kerja MAIWP menunaikan solat Jumaat di sini tetapi juga penduduk sekitar serta mereka yang bekerja di kawasan Chow Kit.
"Harapan saya, Surau Haji Mohammed Sanusi di Menara MAIWP ini dapat diimarahkan dengan pelbagai program bermanfaat," katanya.
Menurut beliau, surau yang mampu menampung lebih 500 jemaah itu dinamakan bersempena pewakaf utama yang telah mewakafkan hartanahnya di Kampung Sungai Penchala untuk pembinaan Masjid Al-Hidayah.
"Allahyarham Haji Mohammed Sanusi bin Baki telah mewakafkan hartanah beliau di Kampung Sungai Penchala yang telah dibangunkan dengan sebuah masjid iaitu Masjid al-Hidayah.
"Bukan hanya mewakafkan hartanah, bahkan kos pembinaan masjid tersebut ditanggung sepenuhnya oleh allahyarham. Majlis penyerahan wakaf tersebut telah berlangsung pada 15 Januari 2003.
"Atas sumbangan allahyarham, maka pengurusan MAIWP telah mengabadikan nama beliau pada surau ibu pejabat MAIWP ini," katanya lagi.
Mohd Na’im ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Surau Jumaat Surau Haji Mohammed Sanusi di Menara MAIWP di sini hari ini.