TAIPING, 14 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa melawat peniaga serta beramah mesra bersama pengunjung di Bazar Ramadan Kamunting, Taiping, Perak.
Ketibaan beliau pada pukul 6.05 petang diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, serta Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail.
Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau suasana bazar, berinteraksi dengan peniaga, serta bertanya mengenai jualan mereka.
Bazar Ramadan Kamunting merupakan bazar terbesar di Taiping dan dikendalikan oleh Majlis Perbandaran Taiping (MPT).
Tahun ini, sebanyak 172 gerai jualan beroperasi di bazar berkenaan.
Sebagai inisiatif menggalakkan transaksi digital, sebanyak 800 insentif e-dompet bernilai RM20 ditawarkan kepada pengunjung terawal hari ini.